Follow us on:

Followers

Kenali Cikgu

My photo
Subang Jaya, Selangor, Malaysia
Suami isteri yang mengajar di SK USJ 20, Subang Jaya dan SJK (C) Lick Hung, Subang Jaya

About

Pages

“Ku” Tidak Boleh Berdiri Sendiri

Kata ganti nama singkat kukau dan mu tidak boleh berdiri sendiri. Kita mesti mencantumkan kata ku dengan perkataan lain. Cantuman itu dapat berlaku sebelum atau selepas perkataan yang berkenaan. Contohnya, kuberikan dan kepadaku. Kata kau pula hanya boleh digunakan pada awal kata. Contohnya, kaulukis. Sebaliknya, kata mudiletakkan di akhir kata sahaja. Contohnya, untukmu.

Ketiga-tiga kata ini tidak boleh dijarakkan daripada kata yang menyertainya. Jadi, salah jikalau kita menulis perkataan itu begini: *ku berikan, *kepada ku, *kau lukis, *untuk mu.
Ketiga-tiga kata ini juga tidak boleh bertugas sebagai subjek ayat. Ketiga-tiga kata ini mesti dijadikan ganti diri penuh akuengkau dankamu apabila bertugas sebagai subjek ayat. Contohnya penggunaan yang salah dan yang betul adalah seperti yang di bawah.

*Ku telah membeli Kamus Pelajar. → Aku telah membeli Kamus Pelajar.
*Kau patut menziarahi pesakit itu. → Engkau patut menziarahi pesakit itu.
*Mu mendapat tempat pertama. → Kamu mendapat tempat pertama.

Apabila kita menggunakan kata mu untuk ganti nama Tuhan, gunakan huruf besar untuk huruf dan berikan tanda sempang. Contohnya,rahmat-Mu.

***
Objek ialah binaan yang terletak selepas kata kerja transitif. Objek dapat terdiri daripada kata nama, frasa nama atau klausa. Objek (termasuk objek tepat) dapat dipasifkan. Pelengkap pula ialah bahagian yang berada selepas kata kerja tak transitif. Pelengkap terdiri daripada kata nama, kata adjektif atau kata sendi nama. Pelengkap tidak dapat dipasifkan.

Adnan menendang bola itu. → Bola itu ditendang oleh Adnan.
Hasnah membelikan Asri sebiji bola. → Asri dibelikan sebiji bola oleh Hasnah. (Salah: *Sebuah bola dibelikan Asri oleh Hasnah.)

Perlaksanaan atau Pelaksanaan?

Yang betul ialah 'pelaksanaan', iaitu kata nama terbitan daripada kata kerja 'melaksanakan'. 


Formula atau rumus asasnya ialah: 'me' menjadi 'pe'; 'mem' menjadi 'pem'; 'men' menjadi 'pen'; 'meng' menjadi 'peng' dan 'menge' menjadi 'penge'.


Contohnya: melaksanakan (menjadi 'pelaksanaan'); membeli (menjadi 'pembelian'; menjual (menjadi 'penjualan'); mengambil (menjadi 'pengambilan'); mengebom (menjadi 'pengeboman'). 


Awalan 'per' biasanya digunakan jika kata kerjanya dalam bentuk kata kerja tak transitif yang berawalan 'ber', misalnya 'bersiar' menjadi 'persiaran', 'berkongsi' menjadi 'perkongsian', 'berlanggar' menjadi 'perlanggaran'.

Mengajar + Penerima, Mengajarkan + Perkara

Perkataan apakah yang tinggi kekerapan penggunaannya? Jawabannya pasti berbagai-bagai. Ahli tatabahasa mungkin berpendapat kata ganti nama seperti saya tinggi kekerapan penggunaannya. Pelajar akan memilih perkataan belajar. Guru pula pasti mengetengahkan perkataanmengajar.

Perkataan mengajar adalah antara perkataan yang tinggi kekerapan penggunaannya dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. Antara ayat yang biasa kita dengar termasuklah ayat 1, 2 dan 3. Golongan yang paling kerap menuturkan ayat seperti ini ialah pelajar.

1. Cikgu Fuad *mengajar bahasa Melayu.
2. Ustaz Muaz *mengajar bahasa Arab.
3. Cikgu Ghazali akan *mengajar karangan esok.

Hanya segelintir pelajar menyedari bahawa binaan frasa *mengajar bahasa Melayu, *mengajar bahasa Arab dan *mengajar karangandalam ayat-ayat ini tidak gramatis. Binaan yang gramatis ialahmengajarkan Bahasa Melayumengajarkan Bahasa Arab danmengajarkan karangan.

Kita dapat mengesan sebaran frasa yang silap itu di Internet. Sebagai contoh, hasil carian dengan Google menunjukkan terdapat 136,000 frasa *mengajar bahasa Melayu dan hanya 41,000 frasa mengajarkan bahasa Melayu. Jumlah frasa *mengajar mata pelajaran pula ialah 216,000 berbanding dengan mengajarkan mata pelajaran sebanyak 3,000 sahaja. Kadar kesilapan gabungan kedua-kedua frasa ini ialah 89 peratus. Kadar kesilapan ini sangat tinggi. Oleh hal demikian, perkara ini perlu mendapat perhatian pengguna bahasa Melayu, khususnya pelajar, agar kesilapan seperti ini dapat dibendung.

Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK) memberikan empat makna perkataan mengajar. Makna mengajar yang pertama ialah menyampaikan ilmu pengetahuan, kemahiran dan sebagainya kepada orang lain. Perkataan lain ialah mendidik, melatih atau memberikan petunjuk kepada seseorang. Frasa contohnya ialah mengajar orang menggunakan senjata.

Makna mengajar yang kedua ialah membaiki kelakuan orang dengan memberi nasihat dan sebagainya. Perkataan lain bagi maksud ini ialah mendidik. Ayat contohnya ialah Ia mengajar anaknya supaya jangan nakal. 

Makna mengajar yang ketiga ialah membuat seseorang melakukan atau tidak melakukan sesuatu berdasarkan pengalaman dan sebagainya yang telah diperolehnya. Ayat contoh yang pertama ialah Musim kemarau ini akan mengajar kita supaya tidak menggunakan air dengan membazir. Ayat contoh yang kedua ialah Kesulitan hidup mengajar orang lebih berusaha

Makna mengajar yang keempat ialah memarahi atau memukul seseorang supaya jera, iaitu tidak melakukan lagi sesuatu perbuatan. Frasa contohnya ialah peribahasa itik diajar berenang. Peribahasa ini sama maknanya dengan peribahasa tak usahlah diajar anak buaya berenang, ia sudah pandai. Bentuk aktif peribahasa ini ialah mengajar itik berenang dan tak usahlah mengajar anak buaya berenang.

Dalam frasa atau ayat contoh di atas, oranganaknya dan kita ialah manusia. Itik dan anak buaya pula ialah haiwan. Manusia atau haiwan ini berfungsi sebagai objek bagi kata kerja transitif mengajar. Kesimpulannya objek atau penyambut kata kerja transitif mengajar ialah manusia atau haiwan. 

Apabila kita teliti huraian yang di atas, kita mendapati manusia atau haiwan itu ialah penerima perbuatan mengajar. Oleh itu kita dapat membuat kesimpulan bahawa mengajar diikuti oleh penerima atau, ringkasnya, mengajar + penerima. Ayat-ayat contoh adalah seperti yang di bawah.

4. Cikgu Fuad mengajar kami Bahasa Melayu.
5. Ustaz Muaz mengajar mereka Bahasa Arab.
6. Cikgu Abdullah mengajar murid-muridnya teknik bercerita.
7. Usahlah mengajar orang tua makan pisang.
8. Nampaknya dia cuba mengajar itik berenang.
9. Perbuatannya itu ibarat mengajar limau berduri.

Perkataan mengajarkan pula bermakna memberi sesuatu pelajaran (ilmu, kemahiran) kepada seseorang. Perhatikan ayat-ayat contoh yang di bawah.

10. Cikgu Fuad mengajarkan Bahasa Melayu kepada kami.
11. Ustaz Muaz mengajarkan Bahasa Arab kepada mereka.
12. Cikgu Abdullah mengajarkan teknik bercerita kepada murid-muridnya.
13. Ahli linguistik ialah orang yang mengkaji atau mengajarkan ilmu bahasa.
14. Dr. Muhammad Amin memang bersedia untuk mengajarkan tatabahasa bahasa Melayu.
15. George Kinajil mencari guru yang dapat mengajarkan permainan tradisional Melayu kepadanya.

Objek kata kerja transitif mengajarkan dalam ayat contoh ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Arab, teknik bercerita, ilmu bahasa, tatabahasa dan permainan tradisional Melayu. Objek ini bukan manusia atau haiwan. Sebaliknya, objek ini ialah perkara yang diajarkan. Oleh itu kita dapat membuat kesimpulan bahawa mengajarkan diikuti oleh perkara atau, ringkasnya, mengajarkan + perkara.

Berdasarkan pemerhatian, pelajar kerap melakukan kesilapan bentuk mengajar + penerima. Mereka sering meletakkan perkara pada tempat penerima. Antara kesilapan contoh dan pembetulannya adalah seperti yang di bawah.

1. *mengajar puisi → mengajarkan puisi
2. *mengajar karangan → mengajarkan karangan
3. *mengajar tatabahasa → mengajarkan tatabahasa
4. *mengajar nilai murni → mengajarkan nilai murni 
5. *mengajar Bahasa Arab → mengajarkan Bahasa Arab
6. *mengajar kesusasteraan → mengajarkan kesusasteraan
7. *mengajar Bahasa Melayu → mengajarkan Bahasa Melayu
8. *mengajar mata pelajaran → mengajarkan mata pelajaran 
9. *mengajar teknik bercerita → mengajarkan teknik bercerita
10. *mengajar Sains dan Matematik → mengajarkan Sains dan Matematik

Apabila pelajar khususnya dan pengguna bahasa Melayu umumnya mengingat rumus mengajar + penerima dan mengajarkan + perkara, insya-Allah, kesilapan dapat dielakkan.

Pelita Bahasa, Jun 2010

JAWAB SOALAN BAHASA MELAYU SECARA ONLINE
ANIMATION

HUKUM D-M

Susunan kata (Hukum D-M) Diterangkan dan Menerangkan 
Salah
Betul
Dr. Mariam Klinik
Klinik Dr. Mariam
Medan Restoran
Restoran Medan
Cili sos
Sos cili
Mini bas
Bas mini
Goreng pisang
Pisang goreng
Lain-lain hal
Hal-hal lain
Lain-lain perkara
Perkara-perkara lain

KESALAHAN PENGGUNAAN KATA SENDI NAMA

Menurut Awang Sariyan (1980:14), kesalahan umum penggunaan kata sendi nama terbahagi kepada dua iaitu
 a) Kesalahan penggunaan kata sendi
 b) Pengabaian penggunaan kata sendi.
 Kata sendi yang sering digunakan dengan salah ialah dari dan daripada, di dan pada, ke dan kepada
(Awang Sariyan, 1980:14).
 
Kata Sendi Nama
Penggunaan
dari
tempat, masa
daripada
perbandingan, asal kejadian
di
tempat
pada
masa, orang, benda abstrak
ke
tempat, masa
kepada
benda bernyawa, benda abstrak
 Contoh penggunaannya:
 
Salah
Betul
 Dia berasal daripada Pulau Pinang.
 Dia berasal dari Pulau Pinang.
 Surat itu dari pengetua.
 Surat itu daripada pengetua.
 Meja itu dibuat dari kayu.
 Meja itu dibuat daripada kayu.
 Di masa depan
 Pada masa depan
 Di zaman teknologi maklumat
 Pada zaman teknologi maklumat
 Di hari ini
 Pada hari ini
 Diserahkan ke Siti.
 Diserahkan kepada Siti
 Dilontar ke Ali
 Dilontar kepada Ali
 Oleh kerana
 Oleh sebab
 Suka manggis
 Suka akan manggis
 Balik Pahang
 Balik ke Pahang
 Pergi perpustakaan
 Pergi ke perpustakaan
 Suka gadis itu
 Suka kepada gadis itu
 Kesalahan Penggunaan Kata Sendi Nama
1. Dari digunakan untuk masa dan tempat.
    Daripada digunakan untuk orang, perbandingan, asal kejadian dan benda
    a) Meja ini diperbuat dari kayu jelutong. (Salah)
        Meja ini diperbuat daripada kayu jelutong. (Betul)
       Daripada digunakan untuk asal kejadian sesuatu benda.
    b) Bangunan ini lebih tinggi dari bangunan itu. (Salah)
        Bangunan ini lebih tinggi daripada bangunan itu. (Betul)
        Daripada digunakan untuk perbandingan.
    c) Mereka menjalani latihan bola sepak daripada pukul 4.00 petang hingga 6.00 petang. (Salah)
        Mereka menjalani latihan bola sepak dari pukul 4.00 petang hingga 6.00 petang. (Betul)
        Dari digunakan untuk masa.
 2.  Penggunaan kata sendi nama ‘di’ digunakan untuk tempat.
    a) Di hari ini, majlis penyampaian hadiah diadakan di dewan sekolah. (Salah)
        Pada hari ini, majlis penyampaian hadiah diadakan di dewan sekolah. (Betul)
 3. Kata sendi nama ‘pada’ digunakan untuk masa, orang dan benda abstrak.
    a) Markah murid-murid untuk mata pelajaran Kemahiran Hidup ada dengan Cikgu Ahmad. (Salah)
        Markah murid-murid untuk mata pelajaran Kemahiran Hidup ada pada Cikgu Ahmad. (Betul)
 4. Penggunaan ‘ke’ untuk tempat, masa dan benda tidak bernyawa. Kata sendi
     ‘kepada’ digunakan untuk benda bernyawa dan benda abstrak.
    a) Surat permohonan itu telah diserah ke guru biasiswa. (Salah)
        Surat permohonan itu telah diserah kepada guru biasiswa. (Betul)
    b) Ayah pergi kepada pasar besar dengan menaiki motosikal. (Salah)
        Ayah pergi ke pasar besar dengan menaiki motosikal (Betul)
 5. Kata sendi nama ‘oleh’ digunakan selepas kata kerja pasif berwawlan di- dan ter-.
     Kata sendi nama ‘dengan’ tidak boleh digunakan selepas kata kerja pasif.
    a) Khadijah tertarik dengan keindahan pemandangan di tepi pantai. (Salah)
        Khadijah tertarik oleh keindahan pemandangan di tepi pantai. (Betul)
 6. Kerana digolong sebagai kata hubung. Katahubung ‘kerana’ tidak boleh diletakkan
     selepas kata sendi nama ‘oleh.’
    a) Oleh kerana sambutan peserta kurang menggalakkan maka pertandingan syair di
        sekolah tersebut telah dibatalkan. (Salah)
        Oleh sebab sambutan peserta kurang menggalakkan maka pertandingan syair di
        
sekolah tersebut telah dibatalkan. (Betul)